AGENDANASIONAL

Grab sedia jayakan e-Bazar Ramadan

SHAH ALAM, 8 APRIL: Grab Malaysia bersedia menjayakan bazar Ramadan digital (e-Bazar Ramadan) demi keselesaan rakyat menerusi jalinan kerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Kementerian Wilayah Persekutuan, kata ketuanya.

Sean Goh berkata pihaknya mahu menyokong dan menggalakkan usahawan menggunakan khidmat pembayaran tanpa tunai serta mengembangkan capaian perniagaan menerusi perkhidmatan GrabPay, GrabFood dan GrabExpress.

“Setiap tahun usahawan mikro dan penjual di laman sosial mengharapkan musim ini sebagai tempoh yang paling sibuk dan mengambil bahagian dalam bazar Ramadan di kawasan kejiranan mereka, mengadakan gerai ‘pop-up’ di seluruh bandar.

“Tetapi tanpa kehadiran fizikal, mereka mungkin tidak dapat menghasilkan jualan yang sama seperti sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Grab sentiasa menggalakkan peniaga menguasai ekonomi digital bagi mengembangkan perniagaan termasuk menyokong restoran persendirian dan penjaja kecil menerusi kempen “Local Heroes” Grab.

Sean berkata pihaknya juga aktif berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain mengenai hasrat pendigitalan peniaga bazar Ramadan tempatan bagi melindungi pendapatan usahawan mikro.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan e-Bazar Ramadan Selangor GRAB dengan 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat bagi mengumpul peniaga memasak dan menjual juadah sepanjang Ramadan ini.


Pengarang :