Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 21 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Guna rancangan strategik bawa balik pelajar dari kampus

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Perancangan strategik dan berjadual sangat penting dalam pergerakan pelajar dari kampus ke kampung halaman mereka, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat ini, tiada kluster Covid-19 yang dikesan dalam kalangan pelajar yang tinggal di kampus mereka selama empat minggu, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita boleh melakukan saringan dan mereka boleh pulang ke rumah tetapi apa yang lebih penting, kita tidak seharusnya mengulangi kesilapan terburu-buru pulang ke kampung.

“Sekurang-kurangnya perancangan strategik bagaimana mereka boleh pulang ke kampung halaman, saya fikir kami melakukannya bersama dengan Majlis Keselamatan Negara,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini semalam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mungkin akan membenarkan pelajar yang terkandas di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing selepas mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Sementara itu, mengulas mengenai lima kes jangkitan semula di Sabah, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kemungkinan bagi kes pesakit yang sudah pulih dan dibenar keluar wad.

Beliau berkata kemungkinan pertama adalah pesakit dijangkiti semula atau kedua, ujian Covid-19 menunjukkan positif yang lemah.

“Sekarang ini ada lima kes mungkin ujian itu akan jadi positif tetapi positif yang lemah iaitu virus shedding (peluruhan virus) sedang berlaku.

“…itulah proses peluruhan virus daripada residual virus yang ada, peluruhan virus berlaku ia tidak menjangkiti tetapi ia mungkin positif,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan orang yang pulih daripada jangkitan Covid-19 sepatutnya mempunyai antibodi, namun setakat ini kertas penyelidikan tidak ada data menunjukkan ia dapat melindungi seseorang daripada dijangkiti semula.

Beliau berkata sebelum ini terdapat satu kes yang pulih dan dibenarkan pulang ke negara asal, Brunei dan kemudiannya disahkan positif.

Jelasnya, selepas dikaji bersama Kementerian Kesihatan Brunei dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati virus Covid-19 itu adalah positif yang lemah.

-BERNAMA


Pengarang :