Muhd Zahiruddin (tengah) percaya pelajarnya lebih gembira dan kurang tertekan sekiranya unsur jenaka digunakan ketika sesi pengajaran dalam talian. Foto ihsan Muhd Zahiruddin
AGENDANASIONAL

Guru guna unsur jenaka tarik minat belajar dalam talian

SHAH ALAM, 28 APRIL: Seorang guru menggunakan elemen jenaka untuk mendidik pelajar dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Muhd Zahiruddin bin Abdul Wahab, 34, yang mengajar subjek sains di sebuah sekolah menengah memilih imej samaran wajah seperti koboi, kartun dan adiwira.

Muhd Zahiruddin menggunakan imej koboi ketika mengajar dalam talian

“Pembelajaran tidak boleh terlalu serius. Kalau terlalu serius murid tidak seronok, jadi unsur jenaka perlu ada dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Pada masa sama, pembelajaran juga akan mencapai objektif,” katanya kepada SelangorKini.

Guru yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata perkara berkenaan turut dilakukan guru lain yang memiliki cara kreatif bagi menarik minat pelajar.

“Semoga usaha kecil ini membolehkan pelajar tidak tercicir dalam pelajaran dan semoga anak bangsa kita menjadi orang yang berjaya,” katanya.

Pada 27 Mac lalu, Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan untuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar menjalankan pembelajaran dalam talian semasa PKP menggunakan Google Classroom dan Microsoft Team.


Pengarang :