Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melambaikan tangan kepada pengamal media selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara pada 1 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hadi Awang dilantik Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dengan bertaraf menteri.

Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju melantik Ahli Parlimen Marang itu ke jawatan tersebut.

“Abdul Hadi Awang merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

“Beliau pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016,” menurut kenyataan itu.

Abdul Hadi merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.

– BERNAMA


Pengarang :