Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 di kaunter pandu lalu Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya pada 28 Mac 2020. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hanya satu kes baharu wabak, MB pesan jangan terlalu selesa

SHAH ALAM, 29 APRIL: Hanya satu kes baharu Covid-19 dicatatkan di Selangor hari ini, berbanding lima yang dilaporkan semalam.

Angka sama pernah direkodkan pada 25 April lalu.

Menurut data dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), kes tersebut dilaporkan di Hulu Langat. Keseluruhannya daerah itu memiliki 66 kes aktif.

“Satu lagi rekod baik, Selangor! Kes baharu rendah memerlukan disiplin yang tinggi. Maka terus konsisten, jangan alpa!” kenyataan ringkas STFC di Twitter dipetik.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu selesa meskipun kes baharu mencatatkan satu digit.

“Usaha memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif. Teruskan penjarakan fizikal dan sikap menjaga kebersihan harus menjadi keutamaan dan kebiasaan,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter petang tadi.

Berdasarkan data Bilik Gerakan Selangor, daerah Petaling kekal dengan 38 kes, Klang (15), Gombak (14), Sepang (3), Hulu Selangor (1), Kuala Selangor (1), Kuala Langat (7) dan Sabak Bernam (2).

Jumlah kematian pula seramai 18 orang.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan 94 kes baharu Covid-19, dengan 72 daripadanya kes import membabitkan warganegara dan pelajar Malaysia yang pulang dari Indonesia.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan keseluruhan 5,945 kes dengan jumlah kematian kekal 100 orang (1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang dari 100 sejak 17 April lalu. KKM menyasarkan jumlah kes harian Covid-19 turun kepada satu angka pertengahan Mei ini.


Pengarang :