Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal wabak Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Harga barang naik, langkah awal diambil – EXCO

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Negeri sudah membuat kawalan serta pemantauan bagi mengelak kenaikan harga barang secara mendadak akibat wabak Covid-19, kata EXCO Hal Ehwal Pengguna.

Hee Loy Sian berkata berdasarkan pemerhatiannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat beberapa peniaga sayur-sayuran di Selangor menaikkan harga barang.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pemantauan dan cuba mengawal peningkatan harga barang.

“Kerajaan mengambil inisiatif antaranya berjumpa petani setempat, mendapat barangan secara langsung, mengagihkannya secara percuma kepada golongan yang terkesan Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, pada 5 April, Kerajaan Persekutuan memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sepanjang PKP.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menggalakkan rakyat melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) jika ada peniaga menaikkan harga.


Pengarang :