Keadaan ketika operasi sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam pada 7 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hulu Selangor paling patuh perintah kawalan di Selangor

OLEH IRWANSHA ISMAIL

SHAH ALAM, 9 APRIL: Tiada tangkapan dibuat di Hulu Selangor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menunjukkan penduduknya mematuhi arahan ditetapkan, kata ketua polis daerah.

Sehubungan itu, Superintendan Arsad Kamarudin berharap keadaan itu berterusan sepanjang fasa kedua PKP yang tamat pada 14 April, lapor BH Online.

“Saya kagum dan memuji sikap penduduk daerah Hulu Selangor yang sangat patuh kepada arahan kerajaan demi menjaga kesihatan diri daripada ancaman wabak Covid-19.

“Anggota kami dibantu Angkatan Tentera Malaysia bertugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab di semua lokasi sekatan jalan raya, rondaan dan pos kawalan,” katanya.

Beliau berkata pengguna turut memberi kerjasama terbaik, berhemah dan sentiasa menunjuk kebenaran pergerakan yang sah sepanjang pemeriksaan kenderaan di daerah tersebut.

Sementara itu, Arsad berkata terdapat tujuh sekatan jalan raya diadakan di Hulu Selangor sejak 18 Mac lalu dengan dua jalan ditutup sepenuhnya ketika pelaksanaan PKP.

Sehingga semalam, Hulu Selangor mencatatkan 26 kes positif Covid-19 iaitu masing-masing 15 kes di Serendah, lapan di Batang Kali dan satu lagi di Ampang Pecah, Hulu Bernam dan Kalumpang.


Pengarang :