Anggota polis mengangkat dan meletakkan batu penghalang jalan ke tempat asal bagi mengawal pergerakan kenderaan ketika PKP. Foto Facebook IPD Hulu Selangor
AGENSISELANGOR

Individu alih penghalang jalan boleh dikena tindakan

SHAH ALAM, 15 APRIL: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu yang mengalihkan batu penghalang jalan diletakkan pihak berkuasa di daerah itu.

Menerusi kenyataan Facebook IPD Hulu Selangor, perkara itu dikesan selepas batu penghalang diletakkan di Jalan Macau, Serendah untuk mengawal pergerakan keluar masuk kenderaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dialihkan pihak tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu, beberapa anggota polis dan tentera terpaksa mengangkat semula batu penghalang dan meletakkannya pada kedudukan asal.

Sementara itu, seramai 10 individu ditahan Pasukan Petugas Khas dan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) IPD Hulu Selangor semalam kerana ingkar PKP.

Kesemua individu itu ditahan di Taman Bukit Teratai di Bukit Sentosa, Jalan Melati di Bukit Beruntung dan di Gohtong Jaya.

“Dua individu ditahan dikenakan kompaun manakala lapan lain direman untuk siasatan lanjut,” katanya.


Pengarang :