Anggota tentera mengawal pergerakan masuk dan keluar di bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Individu dikuarantin sengaja keluar hotel bakal ditahan – KPN

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Individu yang baru pulang dari luar negara dan diarah menjalani kuarantin di hotel tersenarai oleh kerajaan, akan ditahan sekiranya mereka dengan sengaja bergerak bebas keluar daripada tempat kuarantin masing-masing itu.

Ketika memberi peringatan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan, dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

“Kami memandang serius kejadian ini, jika terdapat individu atau kumpulan individu yang dikenakan perintah kuarantin di hotel-hotel tersenarai dengan sengaja bergerak bebas keluar dari bilik untuk merayau-rayau atau berkumpul.

“Perbuatan tidak mengendahkan keperluan jarakan sosial ini amat berbahaya, dan arahan telah dikeluarkan untuk petugas (anggota polis) menahan mereka yang terlibat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan hanya menanggung kos penempatan termasuk makan dan minum setiap individu terhad kepada RM150 sehari, manakala mereka yang memilih untuk dikuarantin di hotel melebihi kadar itu, perlu menanggung kos selebihnya.

Selain itu, sebanyak 45 hotel ditetapkan kerajaan bagi memudahkan pemantauan terhadap individu yang baru pulang dari luar negara.

-BERNAMA


Pengarang :