Seorang pegawai bank ditahan selepas menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis di sekatan jalan raya di Persiaran Tropicana, Kota Damansara malam tadi.
AGENDANASIONAL

Individu kongsi cara tipu polis dikenal pasti, berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 17 APRIL: Polis sudah mengenal pasti individu yang tular di media sosial selepas berkongsi cara menipu polis untuk membawa keluarganya pulang ke Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap keluarga tersebut kerana tiada sesiapa akan terlepas jika melakukan kesalahan, lebih-lebih lagi mengaku ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya nak beri ingatan jangan bangga apabila melakukan kesalahan dan jangan cuba menpengaruhi orang lain untuk membuat perkara sama.

“Jangan berbangga dan menganggap diri kita ‘hero’ kerana akhirnya akan susahkan diri sendiri dan keluarga,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu tersebut berkongsi tip melepasi sekatan jalan raya oleh polis, selepas mendakwa berjaya membawa pulang keluarganya ke Kuala Lumpur.

Gambar yang tular di media sosial turut menunjukkan pelekat petugas kesihatan dalam kenderaannya, sekali gus menimbulkan kemarahan netizen.

Menjawab persoalan bidang kuasa polis mengeluarkan waran kepada orang ingkar PKP, Ismail Sabri berkata tindakan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta akta lain di bawah Kanun Keseksaan.

“Seksyen 3.1 di bawah akta tersebut jelas menyatakan menteri kesihatan boleh melantik mana-mana individu menjadi pegawai dan diberi kuasa untuk menahan orang yang ingkar (PKP).

“Malah Seksyen 3.2 menyebut seseorang pegawai diberi kuasa untuk bertindak dalam bidang kuasa dan kewajipannya di bawah akta ini dan segala kesalahan mengingkari perintah pegawai awam boleh dihukum di bawah akta ini dan Kanun Keseksaan,” katanya.


Pengarang :