Orang ramai membeli barangan keperluan harian di kedai runcit Eka Barona ketika tinjauan di kawasan Pandan Jaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan pada 22 Mac 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Industri, syarikat sudah operasi tidak perlu mohon PKP fasa 3

SHAH ALAM, 16 APRIL: Industri dan syarikat yang sudah mendapat kelulusan beroperasi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 dan 2, tidak perlu lagi memohon bagi operasi fasa 3, kata menteri kanan (Ekonomi).

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata kelulusan untuk beroperasi itu juga sudah diwartakan kerajaan pada 18 Mac, 31 Mac dan 2 April lalu.

“Semua industri dan syarikat yang dapat kelulusan operasi bagi PKP tahap 1 dan 2 boleh teruskan operasi, tidak perlu mohon lagi. Bagi sektor ekonomi tambahan hanya diwartakan semalam dan kini prosesnya berjalan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Selain itu beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima 18,650 permohonan dalam talian dari syarikat yang memohon beroperasi pada hari pertama PKP fasa 3.

Katanya, jumlah permohonan memberangsangkan itu diperoleh selepas sistem itu ditambah baik hasil kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dan Telekom Malaysia (TM).

“Kita mengambil maklum masalah trafik tinggi yang berlaku pada hari pertama permohonan dibuka kerana sistem sedia ada tidak dapat menampung jumlah akses individu dan syarikat.

“Kita juga dapati sejumlah 52 peratus dari jumlah permohonan yang diterima datangnya dari individu, bukannya syarikat.

“Sehubungan itu, MITI berbincang dengan CyberSecurity Malaysia serta TM dan dalam tempoh kurang 24 jam sistem berjaya ditambah baik,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, permohonan syarikat beroperasi ketika PKP fasa 3 berakhir 28 April 2020 ini melebihi jumlah permohonan bagi dua fasa PKP sebelum ini.

“Dalam tempoh enam hari permohonan PKP fasa 1 dan 2 dibuka sebanyak 12,360 permohonan diproses, tetapi untuk fasa 3, kita menerima lebih banyak permohonan, sebagai bukti sistem kita sudah diperkemaskan,” katanya.

Sebelum ini, jemaah menteri bersetuju membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Sektor berkenaan adalah industri automotif; industri mesin dan peralatan; industri aeroangkasa; projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan; perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D); perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar; perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dalam pemborongan dan peruncitan; serta perkhidmatan dobi.


Pengarang :