AGENDANASIONAL

Ingkar PKP: 24 penuntut kolej ditahan ketika main bola sepak

GEORGE TOWN, 1 APRIL: Sejumlah 24 penuntut sebuah kolej di sini ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bermain bola sepak di padang kolej itu di Jalan Cengai, Tanjung Bungah semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata kesemua penuntut terbabit ditahan sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian pada 7.14 malam selepas menerima aduan daripada orang awam.

“Ketika tiba di lokasi, pintu pagar berkunci dan ia dibuka 15 minit kemudian. Pemeriksaan polis mendapati kesemua mereka yang sedang bermain bola di padang itu adalah warganegara tempatan dan penuntut yang tinggal di asrama kolej tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua penuntut berusia lingkungan 20-an itu ditahan kerana melanggar PKP dan disyaki dengan cuai melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kami sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :