AGENDAJENAYAH

Ingkar PKP, lima lelaki dikompaun RM1,000

KEPALA BATAS, 9 APRIL: Lima lelaki yang berkumpul tanpa alasan yang munasabah di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini, pada Rabu masing-masing dikompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata mereka yang berusia antara 20 dan 40 tahun itu diberi masa dua minggu untuk menjelaskan kompaun berkenaan dan sekiranya gagal membayar, mereka akan dihadapkan ke mahkamah.

“Sejak pelaksanaan PKP sehingga semalam, kami telah menahan seramai 589 individu di seluruh negeri kerana gagal mematuhi PKP dan polis akan meneruskan sekatan jalan raya, rondaan serta operasi bagi mengesan mereka yang ingkar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan dan tinjauan di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini, hari ini.

Beliau berkata pemantauan pihaknya mendapati nelayan dan peraih yang datang membeli hasil laut di situ mematuhi arahan dengan mempraktikkan jarakan sosial malah hanya 10 orang sahaja boleh berada dalam Pasar Bisik Kuala Muda pada satu-satu masa.

“Setakat ini nelayan mengakui pendapatan mereka tidak terjejas walaupun tidak lagi menjual dengan cara berbisik, tradisi yang diamalkan sejak puluhan tahun lalu, malah ketika PKP ini hanya peraih sahaja dibenarkan berniaga manakala orang ramai tidak boleh datang membeli seperti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Sahabudin berkata kadar pematuhan penduduk Pulau Pinang terhadap PKP kini mencecah 98 peratus terutama selepas fasa dua dilaksanakan dan pihaknya juga mendapati tiada lagi pemandu kenderaan memberikan alasan tidak munasabah seperti sebelum ini.

Beliau berkata jumlah kenderaan juga semakin berkurangan di jalan raya negeri ini iaitu kurang 50 peratus berbanding pada minggu pertama pelaksanaan PKP dan kebanyakan yang keluar adalah kerana keperluan antaranya pekerja daripada perkhidmatan penting serta mereka yang ingin membeli keperluan barangan asas serta makanan.

“Saya pernah hadir memantau sekatan jalan raya dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan daripada (kenderaan) ditahan, hanya dua buah kereta sahaja yang tidak mematuhi (PKP), yang tiada surat…macam di Pasar Bisik Kuala Muda ini, tiada lagi orang ramai hadir berkumpul beramai-ramai,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :