Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 28 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ingkar PKP: Timbalan menteri, EXCO didenda RM1,000

GERIK, 28 APRIL: Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh juga menjatuhkan hukuman denda sama terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara serentak.

Dr Noor Azmi, 59, Razman, 60, dan 13 individu lain termasuk adik Timbalan Menteri Kesihatan iaitu Noor Azman, 57, didakwa berhimpun di dalam kawasan tempat jangkitan Covid-19 bagi maksud sosial yang melanggar Peraturan 6(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka melakukan perbuatan itu di dewan Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah, Kampung Luat, Lenggong antara 6 petang hingga 7 malam pada 17 April lalu dan dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Norhidayati berkata hukuman berbentuk denda adalah memadai bagi kesalahan pertama yang dilakukan kesemua tertuduh selain melihat kepada tujuan mereka berhimpun iaitu untuk menunaikan solat Asar dan menghulurkan sumbangan barangan makanan kering kepada penduduk sekitar.

“(Mahkamah) Mengambil kira tujuan berhimpun ini (ia) bukanlah bagi tujuan tidak berfaedah tetapi yang baik (untuk) membantu masyarakat setempat yang berdepan Covid-19.

“Bagaimanapun, saya mendapati tujuan berhimpun sedemikian bukanlah suatu pengecualian tetapi yang penting ia turut memberi risiko besar dalam penularan wabak itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, kejadian itu berlaku selepas kesemua tertuduh selesai menghadiri lawatan kerja rasmi Dr Noor Azmi di Klinik Kesihatan Lenggong bagi meninjau persiapan, permasalahan dan keperluan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

Selesai lawatan kerja tersebut, kesemua tertuduh singgah ke Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah untuk solat Asar dan mengagihkan bantuan barangan makanan kering kepada wakil penduduk untuk diedarkan sebelum menikmati jamuan di dewan.

Gambar Dr Noor Azmi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, dan Razman yang merupakan Pesuruhjaya PAS Perak serta Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol menikmati jamuan tersebut tular di media sosial sehari selepas itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Mokhtar dan Mohamad Amri Alfikri Mohamad Dasuki manakala kesemua tertuduh, yang berdiri di luar kandang tertuduh serta memakai penutup hidung dan mulut, diwakili peguam Nor Zahari Ismail.

Azhar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh berdasarkan fakta kes namun Nor Zahari merayu hukuman minimum serta memaklumkan anak guamnya memohon maaf kepada mahkamah dan seluruh rakyat atas perbuatan mereka itu.

Ketika ditemui media selepas prosiding, Dr Noor Azmi memohon maaf atas kesilapan dan akur dengan undang-undang dan sistem kehakiman negara.

“Saya akan lebih berhati-hati lagi selepas ini dan akan teruskan perjuangan untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Kesemua mereka membayar denda itu.

– BERNAMA


Pengarang :