Petugas kesihatan di barisan hadapan. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENSISELANGOR

Insentif penjagaan anak-anak kurangkan resah petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Negeri memperkenalkan Insentif Penjagaan Anak-Anak ‘Frontliner’ Covid-19 bagi membantu mengurangkan resah petugas barisan hadapan ketika berkhidmat memerangi pandemik tersebut.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata bantuan diberi bagi menghargai sumbangan petugas barisan hadapan negeri yang kini bertungkus-lumus menyelamatkan negara dan negeri.

“Petugas barisan hadapan pun ada keluarga dan anak. Mereka risau siapa nak jaga anak ketika bekerja. Waktu kerja pula tidak menentu, boleh jadi lama, boleh jadi terlalu lama,” kata STFC di Facebook.

“Sebab itu Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan Insentif Penjagaan Anak-Anak Frontliners Covid-19 dengan jumlah RM150 untuk seorang anak dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin (Fasa Kedua).”

Bagi petugas yang berminat, permohonan atas talian boleh dibuat bermula 20 April di http://asuhpintar.yawas.my/ .

Pada 1 April lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin fasa kedua yang memperuntukkan sebanyak RM272.5 juta.

Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri mengumumkan Insentif Penjagaan Anak-Anak Petugas Barisan Hadapan kepada 2,500 keluarga dengan peruntukan RM1.5 juta.


Pengarang :