EXCO Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Insentif Penjagaan Anak-anak Petugas Barisan Hadapan bantu pengasuh

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri membantu pengasuh di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) terpilih di Selangor menerusi Insentif Penjagaan Anak-anak Petugas Barisan Hadapan yang diumumkan semalam, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan ramai pengasuh tidak mempunyai pendapatan susulan penutupan Taska sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini.

Jelasnya, inisiatif itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan memberi peluang kepada mereka memiliki pendapatan maksimum RM600 dalam tempoh dua bulan bagi dua kanak-kanak.

“Kita menjangkakan sesetengah Taska mengalami masalah untuk bayar gaji pekerjanya terutama pada bulan ini (April) justeru sebagai kerajaan prihatin kita membantu dan pada masa sama memudahkan petugas barisan hadapan yang mempunyai anak,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri menyasarkan 2,500 keluarga kumpulan berkaitan yang mempunyai anak berusia seawal bayi hingga 12 tahun bakal dibantu dengan peruntukan RM1.5 juta.

Mengulas berkenaan pemilihan, beliau berkata tapisan dilakukan berdasarkan pengesahan ketua jabatan sama ada mereka terlibat dengan tugas sebagai barisan hadapan atau sebaliknya.

Sementara itu, beliau berkata bantuan RM1,000 kepada pesakit Covid-19 sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dan optimis ia dapat meringankan beban mangsa serta pewaris.


Pengarang :