Petugas kesihatan yang memakai sut peralatan perlindungan diri keluar selepas menjalankan saringan kesihatan ke atas penghuni Menara City One pada 1 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Institut belia Dusun Tua hasilkan sut lindung diri bantu petugas hadapan

SHAH ALAM, 6 APR: Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Dusun Tua menghasilkan sut perlindungan diri (PPE) bagi keperluan petugas barisan hadapan di klinik dan hospital kerajaan, kata menteri belia dan sukan.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sumbangan tenaga dan kepakaran dalam bidang pembuatan amat diperlukan pada waktu ini bagi menangani wabak Covid-19.

“Walaupun jumlah pengeluaran fasa pertama tidak besar (2,500 set PPE penutup kepala dan 200 set pelindung muka) namun ia mampu memberi sedikit kelegaan kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah juga giat menghasilkan peralatan PPE dan sehingga kini 2,500 helai penutup kepala disiapkan hasil sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dibantu kakitangan IKBN sendiri.

Reezal Merican berkata pihaknya akan meningkatkan penyelarasan institusi di bawah Kementerian Belia dan Sukan bagi menghasilkan lebih banyak produk PPE untuk memenuhi keperluan hospital dan klinik kesihatan berdekatan.


Pengarang :