Premis yang diarahkan tutup kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Operasi Bersepadu antara IPD Petaling Jaya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBP) pada 15 April 2020. Foto ihsan Facebook Polis Daerah Petaling Jaya
AGENSISELANGOR

IPD Petaling Jaya tangkap enam individu gagal patuh PKP

PETALING JAYA, 15 APRIL: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menangkap enam individu apabila ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Operasi Bersepadu Covid-19 di sini hari ini.

IPD Petaling Jaya dalam kenyataan memaklumkan operasi bermula 8 pagi bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melibatkan 23 pegawai dan 51 anggota kedua-dua agensi terbabit dengan menumpukan kawasan di sekitar Taman Dato’ Harun, Kampung Lindungan dan Desa Mentari.

“Kesemua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 7(1) g Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya di Facebook.

Agensi itu turut memaklumkan operasi memasuki hari kedua itu bagi mengenalpasti premis perniagaan yang tidak mematuhi PKP selain tidak mempunyai lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan permit perniagaan yang sah.

“MBPJ mengeluarkan notis arahan tutup serta-merta terhadap 12 premis dan (premis terbabit) dipasang tali merah. Kesemua premis diperiksa juga dinasihati supaya mematuhi arahan PKP

“Di samping membuat operasi bersepadu, polis bersama MBPJ membuat pemantauan terhadap keadaan masyarakat setempat,” katanya.


Pengarang :