Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ismail Sabri: Semua pusat kuarantin beroperasi dengan baik

SHAH ALAM, 6 APRIL: Semua pusat kuarantin diwartakan kerajaan di seluruh negara beroperasi dengan baik setakat ini, kata menteri kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 6,698 orang kini ditempatkan di 118 pusat kuarantin bagi mengawal penularan Covid-19.

“Kerajaan ingin berterima kasih kepada semua individu yang menjalani perintah kuarantin wajib atas kerjasama yang diberikan.

“Kerajaan sentiasa memastikan kemudahan termasuk pengangkutan dan pusat kuarantin yang disedia menitikberatkan kebajikan dan kesihatan mereka,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 551 pusat kuarantin diwartakan kerajaan yang mampu menempatkan lebih 40,000 individu dalam satu-satu masa.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sebanyak 56 kawasan di sembilan negeri termasuk 27 kawasan di Johor dan enam di Sarawak sudah menjalani operasi nyahkuman.

Beliau berkata operasi merangkumi 113 kawasan awam termasuk rumah ibadat, pasar awam, pasar raya dan perumahan serta 19 bangunan kerajaan.

“Turut di nyahcemar ialah tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) membabitkan 4,872 unit rumah dan setakat ini tujuh PPR terlibat membabitkan 8,944 unit rumah,” katanya lagi.


Pengarang :