Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Isteri bekas pesakit puji Saringan Komuniti, elak pembawa virus tercicir ujian

KLANG, 19 APRIL: Keluarga bekas pesakit Covid-19 di Rantau Panjang di sini memuji inisiatif Kerajaan Selangor melaksanakan Saringan Komuniti.

Hanipah Ab Samad, 60, berkata pendekatan itu mengelakkan penduduk kampung tercicir daripada ujian berikutan ada antara mereka tidak sedar dijangkiti kerana tiada gejala.

“Bagus bila datang ke kampung dalam zon merah. Sudah ada kes seperti ini di sini, (jadi) ia dapat mengelakkan ada yang tercicir (saringan),” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mac lalu, suami Hanipah dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat dijangkiti virus itu sebelum disahkan sembuh. Hanipah turut menjalani saringan hari ini.

Nooliza Mohd Zailani, 41, pula berkata saringan itu memudahkan penduduk luar bandar kerana mereka tidak perlu ke hospital atau klinik bagi membuat saringan.

“Mungkin ada antara mereka terutama warga emas mengalami kesukaran untuk pergi ke hospital atau klinik kesihatan kerana kedudukannya yang jauh,” katanya.

Abdul Muhid Abdul Jamil, 85, mengakui beliau terkejut dengan kehadiran petugas lengkap sut perlindungan peribadi (PPE) yang hanya dilihatnya melalui media.

“Bagus mereka datang ke kampung untuk memeriksa keadaan kami, petugasnya melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Rantau Panjang antara lokasi Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan saringan ke rumah secara bersasar. Klang yang tergolong dalam zon merah mencatat 173 kes terkumpul sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Kerajaan Selangor pada 11 April lalu melancarkan Saringan Komuniti, pertama kali di Malaysia, membabitkan pemeriksaan skala besar bagi mengesan individu yang dijangkiti mahupun pembawa Covid-19 seterusnya memutuskan rantaian wabak.

Minggu lalu, program itu dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri Kajang, Sungai Ramal dan Dusun Tua, semua di Hulu Langat. Lima penduduk dikesan dijangkiti virus, empat daripadanya tidak menunjukkan sebarang gejala.


Pengarang :