Masdiana Muhamad bersama salah seorang anaknya mencuba resipi ketupat sotong untuk mengisi masa lapang ketika PKP. Foto Instagram Amirudin Shari
AGENSISELANGOR

Isteri MB anggap peluang bersama keluarga hikmah terbesar ketika PKP

SHAH ALAM, 23 APRIL: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar menyifatkan peluang bersama keluarga di rumah antara hikmah terbesar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datin Seri Masdiana Muhamad berkata sebagai suri rumah, beliau meneruskan rutin menyediakan keperluan Dato’ Seri Amirudin Shari dan enam anaknya yang masih bersekolah.

“Melihat sendiri perkembangan keluarga adalah hikmah terbesar. Saya buat pelbagai aktiviti di rumah seperti bersenam dan paling seronok apabila memasak bersama dengan mencuba pelbagai resepi.

“Pernah satu hari anak-anak masak kari dan buat roti canai, walaupun tidak menjadi tetapi habis juga dimakan kerana kita menghargai usaha mereka,” katanya melalui program bual bicara dalam talian bersama Institut Darul Ehsan Selangor hari ini.

Masdiana yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor berkata mereka sekeluarga kerap solat berjemaah dan ada kala anak sulung menjadi imam.

Katanya, anak-anak juga diajar mengaji dan menonton televisyen bersama ketika waktu senggang.

Pada masa sama, Masdiana turut menasihatkan ibu bapa memanfaatkan Selangor Tutor iaitu pembelajaran dalam talian secara percuma yang disediakan Kerajaan Selangor ketika PKP.

“Ibu bapa perlu berani meneroka teknologi seperti ini kerana tidak mustahil suatu hari nanti kita mungkin hanya perlu bekerja dan belajar dari rumah,” katanya.


Pengarang :