AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Isu kebenaran nikah ditentukan selepas mesyuarat bersama Sultan Selangor

SHAH ALAM, 13 APRIL: Isu kebenaran nikah dan aktiviti agama di negeri ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya boleh ditentukan selepas mesyuarat bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor petang ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya juga akan bermesyuarat esok bagi memutuskan perkara itu.

“Mengenai isu lanjutan PKP membabitkan nikah, tarawih dan kelas pengajian perlu tunggu mesyuarat bersama Sultan Selangor petang ini dan Jais esok,” katanya ringkas kepada SelangorKini.

Pada 17 Mac lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua kegiatan di masjid, surau dan musolla termasuk solat Jumaat di seluruh negeri ditangguhkan sebulan berikutan penularan Covid-19.

Baginda juga memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat di masjid seluruh negeri pada Ramadan tahun ini, selepas mengambil kira faktor keselamatan.

Jais pada 20 Mac lalu turut menangguhkan urusan berkaitan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah sehingga PKP berakhir selepas lima jurunikahnya disyaki dijangkiti Covid-19.

PKP fasa kedua yang sepatutnya berakhir esok dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi mengawal penularan Covid-19.


Pengarang :