Salah seorang penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang menerima barangan yang dibeli menggunakan khidmat penghantar barangan melalui celahan pagar kawat duri ketika tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara pada 21 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Isu makanan tidak cukup di Pusat Bandar Utara akan diselesaikan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Isu tidak cukup makanan kepada penghuni di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan diselesaikan segera, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sudah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil tindakan berhubung masalah tersebut.

“Macam-macam ditularkan semalam, (sebenarnya) pengagihan berlaku tetapi mungkin ada yang tertinggal (sewaktu pengagihan),” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa mewujudkan pusat operasi di setiap kawasan PKPD bagi membolehkan penduduk mendapatkan bantuan atau menyelesaikan isu berbangkit.

“Jika penduduk menghadapi masalah untuk membeli barang keperluan harian lain seperti susu bayi, lampin bayi dan lain-lain boleh menghubungi pusat operasi berkenaan.

“Di setiap rumah kawasan PKPD kerajaan akan bekalkan barangan kering seperti beras, jadi sepatutnya tidak timbul isu yang perlu diperbesarkan,” kata beliau.

Pada 20 April lalu, kerajaan mengumumkan Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dikenakan PKPD sehingga 3 Mei ini.

PKPD keenam itu membabitkan lapan parcel di kawasan terbabit. Parcel-parcel tersebut adalah Parcel A: Jalan 6/3A, Parcel B:Jalan 6/3A dan 9/3A, Parcel C: Jalan 2/3A serta Parcel D: Jalan 2/3A.

Parcel lain adalah Parcel E1: Taman Sri Murni Fasa 2, Jalan 1/2D; Parcel E2: Taman Sri Murni Fasa 1, Jalan 1/2D; Parcel E3: Taman Sri Murni Fasa 3, Jalan 1/2B dan Parcel F: Taman Batu View dan Taman Batu Hampar.

PKPD dilaksanakan bagi membendung jangkitan Covid-19, sekali gus membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh PKPD itu berkuat kuasa.


Pengarang :