Pemandangan udara di sekitar kawasan Plaza Tol Jalan Duta di bawah kendalian PLUS. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jadual perjalanan pulang dari kampung belum diputuskan

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan belum menetapkan tarikh perjalanan orang ramai yang terkandas di kampung untuk pulang ke kediaman masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tarikh perjalanan dari kampung ke kediaman atau tempat kerja di Kuala Lumpur akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dan Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan memperhalusi pelbagai isu.

Katanya, berlaku kekeliruan dalam kenyataan polis yang mengumumkan tarikh perjalanan antara 1 hingga 3 Mei bagi mereka yang terkandas untuk pulang semula ke kediaman masing-masing.

“Kerajaan pada masa ini hanya dalam proses mengumpul pendaftaran orang terkandas menerusi aplikasi ‘Gerak Malaysia’ atau melaporkan ke balai polis.

“Selepas semua maklumat diperoleh, perkara itu akan dibincangkan dengan polis, MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai cara mengendalikan kepulangan ini.

“Ia kemudiannya akan dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dan Jawatankuasa Khas MKN dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk diluluskan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan perlu memperhalusi pelbagai aspek kerana ia membabitkan kepulangan besar-besaran individu yang terkandas di kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Ia bukan seperti membawa pelajar balik, banyak isu contohnya bagaimana satu keluarga dalam sebuah kenderaan dinaiki lima orang…ia melanggar akta yang hanya membenarkan seorang sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata polis sudah menetapkan jadual perjalanan iaitu 1 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan; 2 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang serta 3 Mei 2020 – Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.


Pengarang :