Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais luluskan 450 permohonan nikah menerusi sidang video

SHAH ALAM, 30 APRIL: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meluluskan 450 daripada 487 permohonan kebenaran khas bagi melaksanakan akad nikah secara dalam talian ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat kelmarin.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata daripada jumlah itu seramai 302 pasangan selamat diijabkabulkan menerusi sidang video yang diperkenalkan 20 April lalu.

“Kebanyakan permohonan (kebenaran khas) kita luluskan dan bilangan pasangan yang sudah bernikah melangkaui jangkaan sebenar Jais. Malah, penerimaan pasangan untuk bernikah dalam talian juga amat baik kerana mereka dijelaskan berkenaan asas hukum terlebih dahulu.

“Meskipun timbul banyak persoalan, namun pihak mempertikaikan (akad nikah dalam talian) harus ingat bahawa ia bukan keputusan Jais, sebaliknya kita melalui proses perbincangan bersama dengan kumpulan Ijtihad (pengkaji dan penyelidik) yang pakar memberi penjelasan berkaitan hukum,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, beliau berkata majlis akad nikah dalam tempoh PKP di negeri ini dibenarkan melalui sidang video dengan syarat mendapat kebenaran khas pihaknya.

Katanya, garis panduan terperinci serta ketetapan baharu yang strategik disediakan bagi memastikan pelaksanaan majlis menepati hukum, dilaksanakan dengan standard wajar, mudah difahami serta diikuti oleh pasangan terlibat kerana kaedahnya lain daripada kebiasaan.

Agensi itu meminta pasangan yang mahu bernikah ketika tempoh PKP mengemukakan permohonan kebenaran khas pengarah Jais sebelum 30 April (hari ini).


Pengarang :