Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Jangan pinjam ah long, wanita dinasihat jumpa ADN

SHAH ALAM, 30 APRIL: Wanita yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga terpaksa meminjam ah long diminta tampil ke Pusat Khidmat Masyarakat berhampiran bagi memohon bantuan, kata EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pelbagai inisiatif dan program disediakan Kerajaan Negeri demi membantu wanita menjana pendapatan.

Kata beliau, tindakan meminjam dengan ah long atau membuat pinjaman peribadi tidak menyelesaikan masalah sebaliknya ia memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.

“Wanita perlu cakna dengan bantuan disediakan kerajaan. Justeru, saya galakkan mereka jumpa ahli dewan negeri (ADN) atau ahli majlis di kawasan masing-masing untuk dapatkan maklumat bentuk bantuan disediakan.

“InsyaAllah kita boleh bantu walaupun ia mungkin memerlukan proses dan sedikit tempoh tetapi berbanding anda meminjam ah long, ia hanya memudaratkan diri dan masa depan,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah menjawab demikian bagi mengulas laporan kaji selidik Institut Wanita Berdaya (IWB) yang mengesan ada segelintir wanita Selangor membuat pinjaman ah long demi kelangsungan hidup ketika PKP.


Pengarang :