AGENSISELANGOR

Jawatankuasa pilihan khas siasat pencemaran bau, gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 18 APRIL: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS) akan menjalankan siasatan terhadap isu pencemaran bau semalam yang mengakibatkan bekalan air di beberapa kawasan terjejas.

Pengerusi JPK-SAS, Michelle Ng Mei Sze berkata surat telah dikeluarkan kepada Lembaga Urus Air negeri (Luas), Pengurusan Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu tersebut.

“JPK-SAS akan meminta agensi tersebut menghadiri pendengaran untuk siasatan lanjut selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Michelle, saranan akan diberikan kepada Kerajaan Negeri setelah taklimat, siasatan, perbincangan, lawatan dan memanggil pakar dibuat bagi menyelesaikan masalah berlaku.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang semalam terpaksa dihenti tugas.

Tindakan tersebut dibuat berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Menurut Luas, kejadian berpunca apabila terdapat premis kolam ikan melepaskan aliran air ke Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat loji pembersihan terpaksa dihenti tugas.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu memaklumkan pihak tersebut melakukan perbuatan itu susulan siasatan bersama Air Selangor, sebaik Kod Merah Kecemasan Pencemaran Sungai Negeri Selangor diaktifkan.


Pengarang :