Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja nyah cemar di tiga pasaraya yang terletak kira-kira lapan kilometer dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam dekat Kluang pada 28 Mac 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Simpang Renggam terus dikenakan kawalan ketat empat hari lagi

SHAH ALAM, 9 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor yang sepatutnya tamat hari ini dilanjutkan sehingga 14 April, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tambahan empat hari dibuat bagi menyelesaikan beberapa perkara.

“Kita setuju untuk sambung empat hari lagi untuk menyelesaikan beberapa perkara yang masih dalam tindakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Simpang Renggam di bawah daerah Kluang mencatatkan sebanyak 175 kes positif jangkitan Covid-19.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan mengulas secara terperinci mengenai tatacara operasi piawai (SOP) baharu berkenaan zon merah, kuning dan hijau esok.

“Majlis Keselamatan Negara telah mengedarkan cadangan SOP tersebut dan kita bincang secara terperinci.

“Malah Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan memperincikan dari segi kawasan-kawasan yang berkaitan ketiga-tiga zon,” katanya.

Pada 27 Mac kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor hingga 9 April.

Tindakan itu dibuat atas nasihat Menteri Kesihatan setelah pihak kementerian mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan Covid-19 di daerah Kluang, dengan 61 kes adalah dari dua kawasan berkenaan.


Pengarang :