AGENDANASIONAL

Kawalan makanan: Gesaan Kerajaan Negeri langkah tepat

SHAH ALAM, 6 APRIL: Wabak Covid-19 membuktikan gesaan Kerajaan Negeri supaya persediaan kawalan makanan perlu dibuat lebih awal langkah tepat bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus.

EXCO Pertanian, Ir Izham Hashim berkata penekanan itu ada terkandung dalam Pelan Transformasi Agro (PeTA) Negeri Selangor yang akan dilaksanakan bagi memperkukuh industri pertanian sehingga 2025.

“Kita perlu mengambil kira hasil pertanian bernilai tinggi, moden dan lestari, rantaian bekalan yang lengkap serta pembangunan sumber manusia bersesuaian supaya kita (Selangor) akan berupaya menghasilkan produk agro makanan bukan sahaja strategik tetapi bernilai tinggi dan berkualiti,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemodenan pertanian mengambil kira semua aspek rantaian termasuk teknologi dalam pembenihan atau pembakaan, kaedah penanaman dan penternakan, penggunaan jentera serta peralatan termasuk bahan tambahan seperti baja dan produk kawalan penyakit.

Izham berkata  setakat ini petani yang menggunakan teknologi moden di Selangor masih rendah kecuali dalam bidang tertentu seperti pemasaran dalam talian, fertigasi dan penggunaan baja kompos.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter semalam berkata krisis Covid-19 diibaratkan sebagai isyarat amaran buat Malaysia supaya tidak terlalu bergantung kepada negara lain untuk sumber makanan.


Pengarang :