Anggota tentera berkawal di hadapan Menara City One pada 1 April 2020 selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kawasan Selayang Baru dikenakan perintah kawalan diperketat

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kerajaan atas nasihat menteri kesihatan memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) ketujuh di kawasan Selayang Baru di Gombak, Selangor, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata PKPD tersebut berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 3 Mei melibatkan enam parcel yang telah dikenal pasti.

Zon A : Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah, Gombak.
Zon B : Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru, Gombak
Zon C : Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru, Gombak
Zon D : Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru, Gombak
Zon E : Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru, Gombak
Zon F : Blok A, B dan C, Selayang Makmur, Gombak

Beliau berkata PKPD ketujuh itu dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19, setelah mengambil kira kebarangkalian jalinan jangkitan di Pasar Harian Kuala Lumpur dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata semua penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan selain pelawat juga tidak dibenarkan masuk.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan di kawasan tersebut. Pangkalan perubatan dibuka di kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal seluruh kawasan,” katanya.

Beliau berkata, pagi tadi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turun padang bagi memastikan bantuan bekalan makanan diagihkan secara teratur.

Katanya, penghuni yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubung Talian Bencana Daerah Gombak 03-6120 1092, 03-6126 1500 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2247, 03-6126 2240.

Sebelum ini, kerajaan sudah melaksanakan enam PKPD termasuk Bandar Baru Ibrahim Majid, kawasan sekitar Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam; Kampung Sungai Lui dan kawasan sekitar Kampung Sungai Lui.

Menara Plaza City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion, Masjid India dan kawasan sekitarnya dan terkini, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur serta kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.


Pengarang :