AGENDANASIONAL

Kebajikan, emosi dan mental 1,400 penuntut UKM terjaga

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kebajikan 1,400 penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tinggal di dalam dan luar kampus adalah terjaga, kata wakil majlis perwakilan pelajarnya.

Arif Fahmi Khairul Azli berkata selain itu pihaknya dengan kerjasama pengurusan universiti turut menilai perkembangan emosi dan mental penuntut terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini.

“Kita tidak abaikan penuntut di luar kampus iaitu mereka yang tinggal di rumah sewa, kita selalu menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa. UKM juga telah mengawal pintu masuk utama dengan mengambil butiran peribadi dan yang mendapat kelulusan ke kampus sahaja dibenarkan melepasinya demi memastikan keselamatan pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Arif Fahmi berkata pihak universiti turut menyediakan perkhidmatan kaunseling bagi memastikan mental dan emosi penuntut dalam keadaan baik sepanjang PKP.

Pada 13 April lalu, kerajaan memutuskan penuntut institusi pengajian tinggi awam, swasta dan kolej komuniti akan kekal berada di kampus sepanjang PKP berkuat kuasa.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapat nasihat daripada pelbagai pihak seperti polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :