AGENSISELANGOR

Kedai jual gas LPG mahal dikompaun RM2,500

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sebuah kedai runcit di Kajang dikompaun RM2,500 selepas menjual gas petroleum cecair (LPG) melebihi harga kawalan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memaklumkan tindakan itu hasil penguatkuasaan dua pasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP cawangan Kajang di sekitar Bandar Seri Putra dan Batu 14 Cheras, semalam.

“Tiga aduan orang ramai telah disiasat dan dua tindakan kes telah dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 .

“Sebuah premis runcit dikompaun RM2,500 kerana peniaga telah menjual gas LPG melebihi harga kawalan kerajaan.

“Manakala satu lagi premis telah dikompaun RM1,000 kerana gagal meletakkan tanda harga dengan jelas pada barang yang dipamerkan untuk jualan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, dua peniaga di Sepang dan seorang peniaga di Kuala Langat masing-masing turut dikompaun RM1,000 berkaitan tanda harga tidak jelas pada barang yang dipamerkan.

“Peniaga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan KPDNHEP serta tidak mengambil kesempatan dengan situasi wabak Covid-19 yang melanda,” katanya.


Pengarang :