Anggota tentera memakai penutup muka dan sarung tangan ketika mengawal bangunan Selangor Mansion berikutan kes Covid-19 di bangunan berkenaan pada 7 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kekuatan tentera bertugas dipertingkat PKP fasa ketiga

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Memasuki fasa ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) esok, bilangan anggota tentera yang bertugas membantu polis menguatkuasakan perintah itu dipertingkatkan.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, bilangan anggota turut ditambah di lokasi Masjid India di sini, yang kini dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), mulai hari ini hingga 28 April.

“Memang kami (ATM) ada tambah anggota kami di situ (Masjid India) dan setakat ini, lebih 7,000 anggota terlibat (menguatkuasa PKP) di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas persiapan anggota tentera susulan pelaksanaan PKP fasa ketiga bermula esok sehingga 28 April ini.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menguatkuasakan PKPD di Masjid India di sini dan kawasan sekitarnya mulai hari ini hingga 28 April.

PKPD kelima itu melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

-BERNAMA


Pengarang :