Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman (tengah) membuat pemantauan barang keperluan di Pasaraya Tesco di IOI City Mall , Putrajaya pada 8 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kekurangan bekalan telur berpunca masalah logistik – KPDNHEP

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Kesukaran mendapatkan telur di sesetengah kawasan adalah disebabkan masalah penghantaran bekalan yang lambat selain permintaan yang tinggi ketika ini.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pengeluar telur telah memberi jaminan bahawa bekalan telur mencukupi bagi memenuhi permintaan dalam negara.

“Oleh kerana permintaan (telur) sangat tinggi, tempat yang agak jauh dari lokasi pengeluar bekalan agak lambat sampai.

“Tetapi pengeluar telah memberi jaminan bekalan mencukupi dan melebihi permintaan, malah lebihannya boleh dieksport,” katanya semasa membuat pemantauan bekalan barangan keperluan di Pasaraya Tesco, IOI City Mall di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas hingga 6 April, sebanyak 15,959 pemeriksaan dijalankan terhadap peruncit, pemborong dan pengilang di seluruh negara.

Iskandar Halim berkata KPDNHEP menerima sebanyak 1,466 aduan berkaitan bekalan dan harga barangan keperluan dengan kebanyakannya berkaitan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman.

“Aduan berkaitan harga dan bekalan barangan keperluan tidak banyak antara 200 hingga 300 sahaja,” katanya.

Berdasarkan siasatan terhadap aduan berkenaan, katanya, KPDNHEP telah mengeluarkan sebanyak 65 notis terhadap peniaga kerana mencatut di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Dalam pada itu, Iskandar Halim menasihatkan pengguna yang ingin membuat aduan agar memberikan maklumat terperinci bagi memudahkan siasatan KPDNHEP.

“Ada yang mengadu kepada kita harga telur mahal, tetapi tidak beritahu berapa harga, di mana kedai itu dan sebagainya. Jadi sukar untuk kita siasat,” katanya.

Iskandar Halim berkata aduan boleh disalurkan melalui portal rasmi KPDNHEP atau menghubungi bilik gerakan kementerian di talian 03-8882 6245 atau talian bebas tol 1-800-886-800 atau emel kepada http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip KPDNHEP ADUAN atau melalui aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNHEP.

– BERNAMA


Pengarang :