AGENDANASIONAL

Kemasukan pelajar baharu ke IPTA tahun ini seperti biasa

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Proses kemasukan pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi tahun ini iaitu sesi 2020/2021 akan diteruskan seperti biasa.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, permohonan kemasukan ke IPTA masih lagi dibuka sehingga esok melalui sistem UPUOnline.

“Penawaran dijangka dibuat pada 3 Jun untuk calon lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bagi calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, ia akan dibuat pada 18 Ogos.

“IPTA dijangka menerima kemasukan pelajar baharu tahun ini ke program Asasi dan Diploma (termasuk Matrikulasi) pada Julai/Ogos tahun ini dan Program Sarjana Muda pada Oktober,” jelasnya.

Menurut KPT, pemakluman berkenaan dibuat bagi menjelaskan pertanyaan mengenai kemasukan pelajar ke IPTA tahun ini, berikutan pengumuman Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung perubahan tarikh peperiksaan dalam negara, semalam.

Mohd Radzi dipetik sebagai berkata Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi 2020 dibatalkan, tarikh peperiksaan SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) akan ditunda kepada suku pertama 2021.

Bagi calon STPM, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada Ogos 2020, manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan pada suku pertama 2021 dan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) juga akan diadakan pada suku pertama 2021, katanya.

Menurut KPT, lulusan peperiksaan ini akan memasuki IPTA tahun hadapan bagi sesi akademik 2021/2022, dijangka pada Julai/Ogos 2021 (bagi program Asasi, Diploma, Matrikulasi) dan Oktober 2021 bagi program Ijazah.

– BERNAMA


Pengarang :