Pelajar Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nur Zulaikha Romzi 21 (kiri) bersama rakannya mengemas pakaian ketika membuat persiapan awal sebelum mendapat kebenaran pulang ke kampung halaman selepas tinggal di asrama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kementerian Pengajian Tinggi hantar 3,841 pelajar pulang ke kampung

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghantar pulang seramai 3,841 pelajar ke kampung masing-masing membabitkan perjalanan zon timur, selatan, Perak dan Sarawak hari ini, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata perjalanan zon timur merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang melibatkan 1,029 pelajar dijadualkan berlepas pada jam 9 malam ini dengan menggunakan 80 buah bas dan 73 buah kenderaan persendirian.

“Pergerakan di zon timur melibatkan 23 pusat pelepasan dan 31 kawasan destinasi pelajar di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Seramai 1,366 pelajar pula akan dihantar pulang bermula jam 9 malam ini menggunakan 76 buah bas di dalam zon selatan membabitkan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Perjalanan di sekitar Perak pula melibatkan 519 pelajar yang sudah bertolak jam 9 pagi tadi dan dijangka selesai pada jam 5 petang menggunakan 25 buah bas.

Pergerakan pulang di zon Sarawak juga sudah bertolak pada jam 9 pagi tadi melibatkan 280 pelajar menggunakan 25 buah bas dan dijadualkan selesai jam 9 malam ini.


Pengarang :