Petugas pelbagai agensi melakukan proses nyahkuman bagi membendung wabak Covid-19 di sekitar kawasan Sungai Ramal Dalam, Kajang pada 30 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan benarkan kedai gunting rambut, dobi dibuka

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kerajaan membenarkan operasi perkhidmatan kedai gunting rambut, perkakas (hardware), elektrik dan dobi dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga sehingga 28 April ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, syarikat di dalam sektor yang disenaraikan tersebut boleh membuat permohonan kepada kementeriannya bermula 13 April ini.

“Semua permohonan mestilah dibuat secara dalam talian di laman sesawang www.miti.gov.my. Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap akan diproses.

“Pihak syarikat wajib mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) serta mematuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kegagalan syarikat berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta selain berdepan tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara senarai sektor dibenarkan operasi:

– Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai cermin mata dalam pemborongan dan peruncitan

– Perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja)

– Perkhidmatan dobi (tidak termasuk dobi layan diri)

– Industri automotif (terhad kepada eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan contohnya penyelenggaraan)

– Industri mesin dan peralatan

– Industri aeroangkasa

– Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan

– Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (hanya terhad kepada perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak & gas; aktiviti-aktviti R&D berkaitan Covid-19; makmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja

– Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar


Pengarang :