Pelajar mengamalkan penjarakan sosial satu meter semasa menunggu giliran untuk menaiki bas ketika proses penghantaran pulang pelajar IPT ke kampung halaman di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya pada 27 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan cari jalan bantu pelajar dari zon hijau balik ke zon merah

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Kerajaan masih mengkaji tatacara operasi piawai (SOP) bagi membantu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di zon hijau pulang ke kampung masing-masing di zon merah atau sebaliknya, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita sedang fikirkan cara terbaik untuk bantu penuntut pulang dari zon hijau ke zon merah atau dari zon merah ke zon hijau,” kata Menteri Pertahanan itu.

Zon hijau merupakan kawasan bebas jangkitan Covid-19 sementara zon merah merupakan kawasan penularan jangkitan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan bagi proses penghantaran pulang penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) di sini malam tadi.

“Mungkin cadangan kami kalau zon merah ke zon hijau kena lakukan saringan kesihatan untuk pastikan mereka tiada jangkitan Covid-19, baru kami benarkan mereka balik.

“Dari zon hijau ke zon merah mungkin tak boleh terus balik ke kampung mereka tetapi mereka boleh balik ke rumah keluarga terdekat di zon hijau. Bila semua okay baru boleh balik ke rumah masing-masing,” katanya.

Buat masa ini kerajaan menumpukan untuk menyelesaikan proses penghantaran pulang pelajar dari zon hijau ke zon hijau.

Pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata seramai 1,128 pelajar akan pulang ke kampung dalam tempoh 24 jam bermula malam ini.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad dalam kenyataan menyebut, pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke kampung mereka yang juga terletak dalam zon hijau.

Sementara itu, mengulas mengenai proses penghantaran pulang pelajar di UM, Ismail Sabri berkata seramai 171 pelajar melibatkan sembilan universiti awam antaranya UM dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berlepas dari UM ke destinasi masing-masing dengan menaiki bas.

– BERNAMA


Pengarang :