AGENDANASIONAL

Kerajaan diminta terus pantau harga barang ketika PKP

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan diminta terus memantau harga barang dan memastikan semua keperluan asas mudah didapati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata timbalan presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Mohd Yusof Abdul Rahman berkata berikutan itu kakitangan penguat kuasa perlu terus digerakkan ke semua pasar raya dan kedai-kedai runcit di seluruh negara untuk membuat pemeriksaan.

“Sepanjang fasa satu dan dua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bekalan keperluan asas sentiasa ada dan mencukupi.

“Memandangkan PKP dilanjutkan dua minggu lagi kita minta pemantauan harga terus dilakukan dan pembeli tidak ditindas,” katanya kepada Selangorkini.

Tambah Mohd Yusof, kerajaan juga perlu memastikan bekalan terutama bahan makanan mudah didapati termasuk di kedai runcit.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menetapkan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 28 April bagi memastikan harga 12 barangan keperluan harian dapat dikawal.

Barangan berkenaan termasuk ayam, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, tomato, kubis dan ikan kembung.


Pengarang :