Salah seorang penduduk di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang menerima barangan yang dibeli menggunakan khidmat penghantar barangan melalui celahan pagar kawat duri ketika tinjauan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara pada 21 April 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan teliti beri kelonggaran kepada penduduk di zon hijau

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kerajaan meneliti tatacara operasi piawai (SOP) baharu bagi memberi kelonggaran kepada penduduk di daerah yang beransur pulih daripada wabak Covid-19 susulan penambahan zon hijau, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu akan diteliti Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis sebelum dibentangkan selewat-lewatnya minggu depan.

“Kita dapati sudah banyak kawasan diisytihar zon hijau, oleh itu kerajaan akan melihat SOP baharu serta kelonggaran yang akan dibenarkan dalam kawasan terbabit.

“Sebagai contoh di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ada kawasan tertutup, setelah penduduk tidak boleh keluar dari rumah lebih dari satu bulan, selepas ini sekiranya tidak ada gejala, mereka mungkin boleh turun dan bawa anak-anak keluar.

“Tetapi hanya dibenarkan dalam kawasan PPR, semua perkara berkenaan akan diteliti,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Hari ini KKM menerusi Twitter memaklumkan zon hijau terus meningkat kepada 77 daerah sementara zon merah terus berkurang kepada 12 daerah.


Pengarang :