Thailand menutup pintu sempadan antara Malaysia sebagai usaha menyekat penularan Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan tingkat kawalan sempadan, elak diceroboh Pati – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 25 APRIL: Kerajaan akan memperhebat dan memperketat kawalan serta pemantauan sempadan termasuk di ‘lorong tikus’ bagi memastikan kedaulatan negara tidak dicerobohi, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (kluster keselamatan) berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seramai 84 individu telah ditangkap kerana mencerobohi negara ini melalui ‘lorong tikus’.

“Kerajaan sentiasa tegas dalam memastikan sempadan dan kedaulatan negara tidak dicerobohi. Justeru pemantauan bagi mengawal sempadan termasuk ‘lorong tikus’ terus diperhebatkan dan diperketatkan.

“Setiap agensi keselamatan terlibat dalam memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara terutamanya ‘lorong tikus’ bagi mengelak pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara, sekaligus membendung penularan Covid-19 ke dalam negara,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihak berkuasa telah mengenal pasti semua ‘lorong tikus sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

“Jadi semua agensi diminta menggandakan sekatan dan kawalan di lorong tikus yang dikenalpasti,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata setakat semalam seramai 386 individu ditangkap berbanding 550 kelmarin kerana ingkar PKP.

“Seramai 649 individu juga dituduh di mahkamah semalam. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP hingga semalam adalah sebanyak 19,434 individu,”

Selain itu katanya sebanyak 11 daripada 13 penjara sementara yang diwartakan sebagai pusat tahanan bagi mereka yang ingkar PKP telah mula beroperasi.

“Setakat ini, 58 individu yang dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kesalahan ingkar PKP telah dihantar ke penjara sementara tersebut,” katanya.


Pengarang :