AGENSISELANGOR

Kerjasama Boost-LZS mudahkan bayaran zakat di Selangor

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Aplikasi e-dompet gaya hidup tempatan Boost dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama untuk menawarkan penyelesaian zakat tanpa tunai bagi memudahkan umat Islam memenuhi tanggungjawab pada Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.

Boost menerusi kenyataan hari ini berkata menerusi kerjasama itu Boost dilantik oleh LZS sebagai ejen pengumpulan zakat rasmi bagi membantu penduduk Islam di Selangor menunaikan zakat di mana sahaja, pada bila-bila masa, secara mudah dan efisien.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata  Boost akan menyokong matlamat LZS untuk menginovasikan dan memacu bayaran zakat di dalam negeri.

“Ini juga peluang Boost mengembangkan dan memperkasakan ekosistem tanpa tunai menggunakan e-dompet di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Boost, di dalam aplikasi itu, tile zakat telah diperkenalkan bagi memudahkan umat Islam di Selangor membayar dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta, hanya dengan beberapa ketikan di skrin.

Mulai hari ini, pengguna boleh mula menunaikan zakat harta namun pembayaran zakat fitrah akan tersedia pada 24 April, hari pertama Ramadan, menurutnya.

Setelah pembayaran dilakukan, pengguna akan menerima resit melalui e-mel yang boleh digunakan untuk memohon rebat cukai individu.

Selain LZS, Boost akan menyediakan pilihan pembayaran zakat untuk Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata pihaknya gembira dapat memudahkan umat Islam di Malaysia memenuhi tuntutuan agama secara mudah, ringkas dan berinovasi.

Beliau berkata dalam persiapan menyambut Ramadan banyak golongan yang terjejas berikutan pandemik Covid-19, jadi peranan LZS semakin penting untuk saling bantu-membantu lebih-lebih lagi ketika mengharungi tempoh kesukaran.

“Zakat yang anda tunaikan amat penting bagi memastikan kebajikan dan keperluan hidup asnaf di Selangor terpelihara dan seterusnya dapat menikmati hidup yang lebih baik terutama dalam waktu krisis ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :