Selangorkini
Petugas perubatan di unit kecemasan Hospital Pakar KPJ Selangor memegang plakad meminta orang ramai duduk di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian Covid-19 pada 4 April 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Covid-19 di Malaysia masih mendatar

PUTRAJAYA, 5 APRIL: Peningkatan kes Covid-19 di Malaysia tidak naik mendadak, sebaliknya disebabkan aktiviti pengesanan aktif di tiga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada masa ini kes positif wabak yang dikesan di Malaysia adalah pada kadar tujuh hingga lapan peratus daripada jumlah keseluruhan ujian pengesahan yang dijalankan.

“Peningkatan mendadak yang saya maksudkan ialah tiba-tiba ada 1,000 atau 2,000 kes di Malaysia dalam sehari. Setakat ini baik. Data masih lagi mendatar belum lagi naik secara mendadak,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian Covid-19, di sini hari ini.

Beliau berkata contoh peningkatan mendadak adalah seperti di Amerika Syarikat dengan 25,000 kes positif Covid-19 sehari.

“Bagaimana Malaysia hendak urus 25,000 kes? Hospital kita pun tak cukup tempat. Ini masalahnya bila kes meningkat secara mendadak,” tambah beliau.

Tiga kawasan PKPD ialah dua kampung di Simpang Renggam, Kluang, Johor dan kawasan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

-BERNAMA


Pengarang :