Anggota tentera memasang kawat besi bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk penghuni di Selangor Mansion ketika tinjauan pada 7 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes ingkar PKP terus naik selepas tiga minggu

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Statistik kes ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-23 terus meningkat, sekali gus mencetus kebimbangan.

Perkara itu turut disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar harian semalam, yang menyatakan masih terdapat aktiviti pergerakan tidak dibenarkan seperti kunjung mengunjung ke rumah saudara dalam tempoh PKP.

Malah, kenderaan di jalan raya juga didapati semakin meningkat.

Setakat semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan tangkapan individu yang melanggar arahan PKP meningkat 13 peratus atau 454 orang pada Selasa, berbanding 403 (Isnin).

Selain itu kawasan yang dikategori zon merah Covid-19 turut meningkat kepada 23 lokasi seluruh negara, selepas daerah Sepang di Selangor dan Kota Samarahan, Sarawak mencatat lebih 41 kes pada Selasa.

Sehingga kini, empat lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) membabitkan Simpang Renggam (Johor), Hulu Langat (Selangor) dan tiga bangunan di Kuala Lumpur iaitu Menara City One, Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion.

Dalam pada itu, setakat semalam tiga negeri terus mencatat jumlah kes positif Covid-19 tertinggi iaitu Selangor (1,078 kes), Kuala Lumpur (685 kes) dan Johor (496 kes).

Jika diteliti perkembangan situasi itu, PKP yang dijadualkan berakhir Selasa depan tidak mustahil akan dilanjutkan.

Susulan peningkatan kes ingkar PKP, polis mengambil langkah lebih tegas dengan mengenakan kompaun RM1,000 terhadap individu ingkar PKP, bermula semalam.

Setakat semalam, seramai 166 pesakit disahkan pulih, manakala 156 kes baharu direkodkan menjadikan keseluruhan kes postif Covid-19 di Malaysia ialah 4,119 kes, dengan 65 kematian.

Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat secara keseluruhannya untuk mematuhi PKP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA


Pengarang :