Penumpang pesawat penerbangan memakai topeng penutup mulut dan hidung pada tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 24 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Khabar pelajar terkandas di kampus boleh pulang seperti `hadiah raya’

LANGKAWI, 26 APRIL: Rasa seperti ‘hadiah raya’, itu antara reaksi gembira sebahagian daripada 17 pelajar Langkawi Tourism [email protected] Komuniti Langkawi di sini berikutan keputusan kerajaan membenarkan mahasiswa yang masih berada di kampus pulang ke rumah masing-masing bermula esok.

Bercakap kepada Bernama, pelajar kursus Sijil Seni Kulinari Nurul Ezetty Syahira Mohamad Atan, 20, berkata perkhabaran gembira itu amat dinantikannya malahan ibu bapa di Sandakan, Sabah juga begitu teruja dengan berita itu.

“Tahun ini saya memang sudah rancang nak balik pada awal April kerana cuti semester, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) segala perancangan terhenti. Dalam tempoh PKP, hampir setiap hari saya berhubung dengan ahli keluarga di kampung dan berita mahasiswa dapat pulang ke kampung ini amat menggembirakan saya dan ibu bapa,” kata anak sulung daripada dua adik-beradik ini.

Turut berkongsi kegembiraan, Nur Ummi Aishah Ismail, 20, yang bersyukur dapat pulang ke Bagan Ajam, Pulau Pinang selepas lebih sebulan berada di kolej kediaman Langkawi Tourism [email protected] Komuniti Langkawi.

“Sebelum PKP dilaksanakan, saya membuat latihan industri di sebuah hotel di Jalan Pantai Tengah. Sebaik arahan PKP dikuatkuasakan saya ambil keputusan terus berada di Langkawi untuk menyiapkan laporan latihan industri, tugasan itu dah siap jadi bila kerajaan benarkan mahasiswa balik ke kampung halaman saya rasa amat bersyukur dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Semua urusan perjalanan pulang telah dilakukan dibantu oleh seorang pensyarah di sini, saya akan pulang pada Rabu (29 April) menaiki feri dari Terminal Feri Penumpang Kuah ke Kuala Perlis seterusnya dari Stesen KTM Arau ke Butterworth,” kata pelajar kursus Sijil Pengurusan Penginapan.

Sementara itu, Pensyarah Kursus Perkhidmatan Makanan dan Minuman Mohamad Jeffri Ahmad berkata kesemua 17 pelajar lelaki dan perempuan yang terkandas akan pulang ke negeri masing-masing secara berperingkat.

“Pihak Langkawi Tourism [email protected] Komuniti Langkawi sedang membantu menguruskan perjalanan pelajar ini, mereka semua memilih untuk pulang ke negeri masing-masing seperti Sabah, Selangor, Pahang, Kelantan dan Pulau Pinang.

“Sepanjang tempoh PKP, kebajikan pelajar yang berada di kolej kediaman atau rumah sewa dipantau setiap masa. Pensyarah dan petugas Langkawi Tourism [email protected] Komuniti Langkawi juga ada mengumpul dana berjumlah lebih RM3,000 yang disalurkan secara berperingkat kepada pelajar untuk membeli barangan keperluan harian,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelajar yang masih berada di kampus pusat pengajian sejak PKP berkuat kuasa 18 Mac lepas dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula esok, bagaimanapun hanya perjalanan ke zon hijau sahaja.

– BERNAMA


Pengarang :