Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir (tengah) bersama ketua-ketua operasi cawangan KDEBWM yang menerima pensijilan antarabangsa baru-baru ini. Foto ihsan KDEBWM
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Khidmat kutip sampah domestik Selangor raih pensijilan antarabangsa

SHAH ALAM, 14 APRIL: Perkhidmatan kutipan sampah domestik Selangor yang dikendalikan KDEB Waste Management (KDEBWM) menerima pengiktirafan badan pensijilan antarabangsa bagi pengurusan kualiti dan alam sekitar.

Ketua Perhubungan Awam dan Medianya, Mahfuzah Muhammad Tarmidi berkata pengiktirafan ISO 9001:2015 dan 14001:2015 menerusi Pensijilan AJA EQS diberikan kepada 12 cawangan KDEBWM iaitu Klang, Ampang, Selayang, Kajang, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Turut menerima pengiktirafan sama cawangan Kuala Langat, Petaling Jaya, Subang Jaya, Sepang dan Shah Alam.

“Pengiktirafan ini amat bermakna kerana membuktikan amanah dan tanggungjawab sepanjang lima tahun beroperasi berjaya dilaksanakan KDEBWM sebagai syarikat pengurusan sisa pepejal pintar di Selangor.

“Kami percaya pengiktirafan ini dapat mengukuhkan visi dan misi dalam mempromosikan persekitaran yang sihat dan bersih khususnya di negeri ini selari dengan slogan KDEBWM ‘Together We Keep Selangor Clean,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuzah berkata pensijilan ISO 9001 adalah pengiktirafan bertaraf antarabangsa bagi tatacara operasi piawaian (SOP) sekali gus meningkatkan kepuasan pelanggan, manakala sijil ISO 14001 menumpukan kepada piawaian alam sekitar.

“Kejayaan ini juga adalah komitmen daripada Jabatan Kualiti dan Pematuhan KDEBWM. Selepas ini kami akan menumpukan usaha bagi mendapatkan pensijilan ISO bagi skop pembersihan awam,” katanya.


Pengarang :