Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: 39,002 kes denggi sehingga 25 April, turun 9.4 peratus

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Sejumlah 39,002 kes denggi dilaporkan dari 29 Disember 2019 hingga 25 April tahun ini, menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia 2019 dan 2020.

Perangkaan yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penurunan sebanyak 4,063 kes (9.4 peratus) denggi daripada 43,065 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Laporan itu juga menyatakan hanya satu kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-17 (19 hingga 25 April) 2020 dengan jumlah kumulatif 64 kematian berbanding 67 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-17 tahun ini, sejumlah 1,301 kes denggi dilaporkan , meningkat 11 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata laporan itu yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya hari ini.

Sehingga minggu ke-17 tahun ini, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi dengan 23,402 kes. Ia diikuti Kuala Lumpur (3,243 kes) dan Johor (3,242 kes).

Menurut laporan CPRC itu juga, 13 kes chikungunya dicatatkan sementara tiada kes positif zika dilaporkan dari 29 Dis 2019 hingga 25 April tahun ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan berbangga kerana dapat menyertai Gabungan Kajian Klinikal dalam mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada manusia.

“Kami berdepan dengan ancaman global COVID-19 yang amat mencabar dan kehidupan kita semua akan terjejas,” katanya sebagaimana dipetik Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) di laman Facebook hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :