AGENDANASIONAL

KKM bincang isu kebenaran operasi taska esok

PUTRAJAYA, 29 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membincangkan keperluan pembukaan semula taska pada mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini susulan beberapa sektor ekonomi sudah mula beroperasi pada fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini.

“Sekarang ini perkara ini (pembukaan semula taska) kita akan bincangkan pada mesyuarat MKN esok, perkara ini telah kita usulkan dan akan dipertimbangkan.

“Tetapi apa yang penting semua sektor mematuhi garis panduan KKM sama ada taska, restoran atau institusi. Garis panduan KKM sudah ada, jadi kalau taska tersebut boleh patuh pada garis panduan KKM jadi tiada masalah, itu yang perlu kita pastikan dahulu,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di sini hari ini.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM pada 29 April 2020. Foto BERNAMA

Beliau menjawab aduan ibu bapa yang sudah mula berkerja, namun kini berdepan masalah untuk menghantar anak mereka ke taska.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengulangi ketika ini sektor ekonomi perlu diutamakan untuk memulakan operasi berbanding sektor pendidikan dan sosial.

Jelasnya, KKM akan memantau perkembangan situasi operasi sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa PKP dalam tempoh dua minggu sehingga sebulan lagi sebelum membenarkan sektor lain dibuka.

“Bagi sektor sosial dan pendidikan, mungkin lewat sedikit. Berhubung aktiviti senaman (seperti jogging) itu juga termasuk dalam SOP kami dan sudah tentu akan diberi pertimbangan dari segi senaman tanpa perlu berada berdekatan, contohnya, sukan yang tidak ada kontak rapat.

“Jadi semua ini akan diberi pertimbangan dengan syarat mereka mematuhi prinsip garis panduan kementerian, perlu lakukan jarak sosial dan memastikan tiada perhimpunan melibatkan ramai orang. Jadi ini beberapa langkah yang kami akan teliti dan akan umumkan dalam waktu terdekat,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada kilang-kilang yang mula beroperasi agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan KKM dalam mencegah penularan Covid-19 di negara ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiada keperluan untuk menutup Hospital Umum Sarawak (HUS) susulan petugasnya dijangkiti Covid-19 memandangkan keadaan masih terkawal setakat ini.

“Keadaan terkawal setakat ini, kami jalankan nyahkuman di kawasan yang berkenaan…kebanyakan jangkitan ini bukan daripada hospital, mungkin daripada komuniti. Mereka yang terbabit dalam penjagaan di ICU atau menjaga pesakit Covid-19 tiada yang dijangkiti,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :