Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di KKM, Putrajaya pada 6 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM giat kenal pasti empat sub kluster perhimpunan tabligh

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempergiatkan aktiviti pengesanan, penyaringan, ujian dan rawatan di empat sub kluster jangkitan Covid-19 membabitkan beberapa madrasah dan sekolah tahfiz, susulan perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sub kluster tersebut ialah madrasah di Sungai Lui, Selangor; Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang dan Jasin, Melaka.

“Tindakan proaktif ini bertujuan membantu pengesanan kontak rapat kepada indeks perhimpunan tersebut. Kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Bagi sub kluster madrasah di Sungai Lui seramai 282 disaring membabitkan 274 pelajar dan lapan kakitangan, susulan daripada itu didapati jumlah kes positif 90 orang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara manakala 67 kes sembuh dibenarkan keluar.

Sementara itu, 401 orang termasuk 297 pelajar dan 104 kakitangan serta ahli keluarga dari sub kluster madrasah di Jerantut turut disaring dan didapati 62 kes dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan serta 20 kes sembuh.

Seramai 291 termasuk 256 pelajar dan baki 35 kakitangan dari sub kluster madrasah di Penanti, Pulau Pinang turut disaring dengan jumlah kes positif enam manakala dua dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Sub kluster madrasah di Jasin, Melaka dengan jumlah yang disaring seramai 137 iaitu 122 pelajar dan 15 kakitangan, didapati 37 kes positif dimasukkan ke Hospital Melaka dan hanya satu sembuh.


Pengarang :