Sekatan jalan raya yang dilakukan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Seksyen 7, Shah Alam pada 10 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM: Jangan leka, kita belum menang lawan Covid-19

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan seluruh rakyat supaya tidak leka kepentingan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun kes Covid-19 menunjukkan penurunan akhir-akhir ini.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata beliau bimbang penurunan jumlah kes disalah erti sekaligus membuatkan masyarakat lalai serta mengambil mudah PKP.

“KKM khuatir sekiranya penurunan jumlah kes beberapa hari ini disalah erti serta membuatkan masyarakat alpa lalu mengambil mudah PKP kerana memikirkan wabak ini hampir selesai. Perjuangan kita belum selesai,” kata ketua pengarah kesihatan pada sidang media hari ini.

Malaysia sekali lagi menunjukkan penurunan kes harian positif Covid-19 apabila hanya mencatatkan 54 kes baharu hari ini.

Sementara itu jumlah pesakit pula berada ditahap memberangsangkan iaitu pada kadar 58.5 peratus atau 3,102 kes termasuk 135 orang hari ini.


Pengarang :